WE ARE MARSHALL (2006)

5
(5)

We Are Marshall merupakan filem biografikal sukan yang diangkat dari kisah benar berkaitan tragedi kapal terbang terhempas pada tahun 1970 yang melibatkan pasukan football Universiti Marshall. Filem ini berkisar tentang kejadian dan peristiwa yang berlaku selepas tragedi menyayat hati itu berlaku.

Pada tahun 1970, seramai 37 orang ahli pasukan Marshall University Thundering Herd Football, 8 orang barisan kaki tangan kejurulatihan, 25 orang penyokong, 2 orang juru terbang, 2 orang kru kabin, serta seorang pekerja milik syarikat penerbangan terlibat dengan nahas pesawat dan meninggal dunia di tempat kejadian. Satu tragedi yang tercatat dalam sejarah mengorbankan 75 nyawa.

Filem We Are Marshall diarahkan oleh McG yang terkenal melalui filem arahannyaCharlie’s Angel (2000). Bintang utama untuk filem ini ialah Matthew McConaughey, Matthew Fox, Anthony Mackie, Arlen Escarpeta, dan David Strathairn.

Apa yang boleh dikatakan ialah We Are Marshall merupakan sebuah filem yang benar-benar memberi inspirasi dan mood berkobar-kobar buat para penonton. Lupakan sebentar kontroversi yang melanda filem ini, hayati sahaja lakonan dan jalan penceritaan yang mampu membuat para penonton tidak berganjak dari kerusi.

Selepas tragedi yang benar-benar meragut keceriaan seluruh penduduk bandar, mampukah pihak Universiti Marshall bangkit dan meneruskan program football mereka? Tekanan untuk membentuk pasukan baru amat terasa kerana seolah-olah semua pihak tidak bersedia untuk masuk semula ke padang bagi menyaksikan perlawanan. Pastinya bayangan pasukan yang terlibat dengan tragedi kapal terhempas terngiang-terngiang di ingatan.

Presiden universiti ketika itu iaitu Donald Dedmon berusaha sebaiknya untuk mewujudkan semula program football di Universiti Marshall selepas mendapat tekanan dari para pelajar dan juga ahli pasukan football yang masih tinggal.

Sebuah perjalanan yang bukannya mudah, mencari jurulatih baru, pasukan kaki tangan kejurulatihan baru, dan pasukan baru,kerana seluruh jabatan sukan telah tiada. Tekanan dari pihak masyarakat dan juga keluarga yang telah kehilangan orang tersayang akibat tragedi tersebut juga sukar untuk ditepis. 

Filem ini menunjukkan bagaimana mereka memulihkan diri dari rasa kehilangan dan rasa tidak berdaya. Pastinya ada yang membawa perasaan bersalah sehingga ke mati, tidak kurang juga yang mampu berubah dan meneruskan hidup dengan normal. Matthew McConaughey berjaya membawa watak sebagai Jack Lengley iaitu ketua jurulatih baru bagi pasukan football Universiti Marshall. Pembawaan karakter yang ceria dan melucukan yang cuba menghindari rasa sentimental dalam diri.

Filem yang penuh inspirasi dan mampu membuat penonton mengalirkan air mata.

 

RATING FILEM INI

BINTANG UNTUK REVIEW INI

PURATA BINTANG 5 / 5. KIRAAN BINTANG 5

MASIH TIADA VOTE UNTUK REVIEW FILEM INI