Vik2ria Secret Filem Tercorot 2023

0
(0)

Mengikut maklumat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), tiga filem yang mendapat kutipan tiket terendah sepanjang tahun lalu ialah filem Vik2ria Secret, Sazali Meor Coco dan filem Tamil, Kaaval: The Movie.

 

Semakan juga mendapati ketiga-tiga filem terbabit dibikin menggunakan dana kerajaan iaitu Dana Filem Cereka bernilai antara RM500,000 hingga RM800,000 dan Dana Pemasaran antara RM60,000 hingga RM90,000.

 

 

Menduduki senarai filem tercorot adalah Vik2ria Secret yang menjejaki pawagam pada Jun tahun lalu. Naskhah yang mendapat sentuhan bintang legenda, AR Badul sebagai pengarah itu hanya mampu meraih kutipan RM5,058.90.

 

Biarpun timbul pelbagai isu panas yang dilaporkan media membabitkan naskhah itu, antaranya Badul didakwa menjalin hubungan dengan filem heroin terbabit, Annie Ariffin, selain poster Vik2ria Secret yang dipertikai netizen, namun kontroversi itu tidak mampu menarik perhatian penonton kepada pawagam.

 

Berikutan kutipan buruk itu, banyak pihak menerima pemberian Dana Filem Cereka RM500,000 dan Dana Pemasaran RM90,000 untuk filem terbitan Sheunik Sdn Bhd itu sebagai membazir. Apatah lagi, naskhah yang membabitkan kos RM1.05 juta itu hanya merekodkan 346 penonton sepanjang tayangan.

 

 

Diadaptasi daripada drama bersiri disiarkan TV2, filem Kaaval: The Movie terbitan One Merge Sdn Bhd hanya mengaut RM5,645.10.

 

Biarpun mempertaruhkan aksi genre dengan memaparkan kesungguhan sekumpulan inspektor polis menumpaskan jenayah yang semakin meningkat di bandar, terutama membabitkan isu pemerdagangan manusia, namun, ia bukan jaminan naskhah terbabit meraih kutipan pecah panggung.

 

Diarahkan Nithin Renji Panicker dan R Lawrence, filem yang ditayangkan pada Jun tahun lalu itu mendapat bantuan Dana Filem Cereka sebanyak RM500,000 dan Dana Pemasaran sebanyak RM60,000.

 

 

Tuah nampaknya tidak berpihak kepada pelakon, Zizan Nin apabila filem pertama arahannya berjudul Sazali Meor Coco yang ditayangkan di pawagam, November tahun lalu, hanya mengutip RM6,990.35.

 

Naskhah bercorak komedi terbitan Aquila Emas Sdn Bhd itu mengisahkan tiga beradik iaitu Sazali, Coco dan Meor yang berhijrah ke bandar untuk menjadi bintang terkenal. Filem itu turut menerima Dana Filem Cereka berjumlah RM800,000.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib tidak melihat jumlah kutipan tiket rendah kerana kegagalan dalam industri perfileman tempatan.

 

Bersikap rasional terhadap senario dilihat, Azmir memahami situasi dihadapi penerbit kerana kebanyakan filem dihasilkan selepas pandemik COVID-19.

 

*Sumber asal, bharian.com.my (22 Januari)

RATING FILEM INI

BINTANG UNTUK REVIEW INI

PURATA BINTANG 0 / 5. KIRAAN BINTANG 0

MASIH TIADA VOTE UNTUK REVIEW FILEM INI