SERAM – THE GHOST HOUSE (2017)

5
(4)

Sebuah percutian bertukar menjadi mimpi terburuk kepada sepasang kekasih apabila mereka telah mengganggu “RUMAH HANTU” tempat bersemadinya roh-roh yang jahat.

Kita sedia maklum yang negara-negara Asia termasuklah Malaysia kaya dengan nilai-nilai kebudayaan, kesenian dan warisan. Tidak juga kurang hebatnya dengan kepercayaan mistik dari zaman nenek moyang lagi. Sebagai contoh penggunaan nama “Rumah Hantu” di dalam filem ini sebenarnya merujuk kepada kuil kecil/tokong yang disediakan untuk roh-roh yang tidak tenang agar mereka dapat bersemadi dengan tenang di dalam tokong kecil itu dan tidak mengganggu alam manusia.

Filem dimulakan dengan sepasang kekasih Julie (Scout Taylor Compton) dan Scout (James Hébert) yang sedang dalam percutian di Thailand. Peristiwa ngeri bakal menimpa pasangan ini ketika mereka bertemu dengan dua lelaki Inggeris di hotel yang sama mereka duduki. Tanpa mengenali latar belakang dua lelaki tadi, Julie dan Scout nampak begitu mesra dan terpedaya dengan tawaran dua lelaki tersebut untuk keluar dan berseronok bersama-sama sambil menikmati pemandangan kota dan kehidupan masyarakat di Thailand.

Kemudian Julie dan Scout diajak ke tempat yang lebih mencabar dan menarik. Tanpa berfikir panjang, Julie dan Scout menurut sahaja sehinggalah mereka tiba di sebuah hutan yang jauh dan terpencil dari koto dan disitu terdapat sebuah kawasan perkuburan yang telah lama ditinggalkan dan tempat itu diberi nama “GHOST HOUSE” iaitu rumah hantu tempat persemadian roh-roh yang tidak tenang dan tidak dapat pergi ke alam barzakh.

Kerana ketaksuban Julie terhadap benda-benda dan perkara-perkara mistik, secara tidak sengaja dia telah mengganggu dan melepaskan roh jahat yang menduduki salah satu Rumah Hantu disitu. Sebenarnya, sebelum kejadian ngeri itu terjadi, dua lelaki Inggeris tersebut telah melarikan diri dahulu dan meninggalkan Julie serta Scout di hutan itu. Seperti ada sesuatu yang telah disembunyikan oleh dua lelaki tersebut.

Siapakah roh jahat yang Julie telah lepaskan itu? Mengapakah dua lelaki Inggeris tadi membawa Julie dan Scout ke tanah perkuburan tersebut dan kemudian lari meninggalkan mereka? Dapatkah Julie dan Scout kembali ke tanah air mereka dengan selamat setelah diekori dan diganggu oleh roh jahat itu?

Menariknya di awal filem ini, kita akan dipertontonkan dengan sinematografi yang cukup jelas, indah dan sempurna. Bermula dari kesibukan masyarakat pusat bandar Bangkok hingga ke kawasan luar bandar. Min dapat merasakan diri min sendiri sedang mengikuti pengembaraan mereka, betapa indahnya Thailand. Maaf min tak pernah pergi lagi Thailand, jadi bila disajikan dengan pemandangan di Thailand cukup buat min rasa teruja.

Walaupun filem ini nampak macam filem “low budget” namun min cukup kagum dengan keupayaan persembahan filem ini yang bagi min mereka berjaya menghasilkan sebuah kisah yang setara dengan filem-filem seram Thailand dan Hollywood yang lain. Satu gabungan dan kerjasama yang sangat padu bagi min. Bukan setakat itu sahaja, kesan visual dan solekan untuk mencipta beberapa babak-babak yang menyeramkan dan menakutkan benar-benar nampak realistik!

Sebenarnya min tidak meletakkan jangkakan yang tinggi kepada filem ini, tapi siapa sangka pelaksanaan kesan seram dalam filem ini adalah sesuatu yang unik bagi min. Ada beberapa babak seram dia yang berjaya membuatkan min tersentak dan terjerit sebenarnya! Hahahah!

Jujur, untuk sesiapa sahaja yang ada masalah menangani ketakutan; anda dinasihatkan untuk TIDAK menonton filem ini bersendirian atau dalam keadaan gelap kerana min yakin ada babak-babak seram yang pasti mencengkam emosi anda. Dan ia juga kurang sesuai untuk tontonan bersama anak-anak kerana ada beberapa aksi-aksi romantik atas ranjang yang agak disamarkan antara Julie dan Scout.

Secara umumnya, walaupun filem ada beberapa babak yang agak klise namun sebaik sahaja ia masuk ke minit 17, ia menjadi semakin menarik dari satu babak ke babak lain terutamanya lakonan dari Julie! Sangat asli dan bersahaja. Dan dia benar-benar menjiwai wataknya ketika dia diganggu dan dirasuk oleh roh jahat itu.

Jadi guys! Moral dari kisah filem ini juga mengingatkan kepada kita semua untuk menghormati budaya masyarakat dari negara lain dan juga tidak mudah mempercayai orang asing bila berada di negara asing! Rambut sama perang, hati tiada siapa yang tahu. Jangan jadikan percutian kita bertukar menjadi pengalaman yang mengerikan.

Min beri 7/10⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐ untuk filem ini.

Pastikan anda tonton filem ini sehingga habis ya kerana 15 minit terakhir adalah babak-babak yang paling mendebarkan!

Filem ini anda boleh tonton di YouTube dalam Bahasa Inggeris dan tiada subtitle.

Nah, admin belanja trailernya!

RATING FILEM INI

BINTANG UNTUK REVIEW INI

PURATA BINTANG 5 / 5. KIRAAN BINTANG 4

MASIH TIADA VOTE UNTUK REVIEW FILEM INI