BISIK PADA LANGIT (2017)

5
(1)

“Mak dengan bapak yang kehilangan anaknya, lebih dahsyat dugaannya dari anak yang hilang mak bapaknya”

Siapa tak kenal Kabir Bhatiar, pengarah tersohor yang banyak menghasilkan filem sarat dengan mesej tersurat mahupun tersirat. Tahun 2017, beliau sekali lagi tampil dengan filem melodrama Bisik Pada Langit dengan dibarisi pelakon-pelakon hebat veteran dan baru seperti Jalil Hamid, Ummi Nazeera, Beto Kusyairy, Naim Daniel, Erwin Dawson dan Fadilah Mansor. Filem ini mengisahkan pengorbanan Seorang Ayah yang bernama Wak Selamat (Jalil Hamid) yang sangat menyayangi satu-satu anak perempuannya, Siti Hajar (Ummi Nazeera)  dan sanggup menunaikan apa sahaja kehendak puterinya ini. Abangnya, Zaidi (Beto Kusyairi) dan adiknya, Ikram (Naim Daniel) juga berkorban apa saja semata-mata untuk memastikan hasrat Siti Hajar untuk melanjutkan pelajaran di Perth, Australia dapat direalisasikan.

Segalanya musnah musnah apabila Wak Selamat sekeluarga dimaklumkan Siti Hajar terlibat dalam satu kemalangan di Perth, Australia. Apa yang lebih meresahkan hati Wak Selamat apabila dikhabarkan anaknya Siti Hajar kini berada dalam keadaan kritikal dan koma.


Siapa tak kenal Pak Jalil Hamid, setiap watak lakonan beliau sudah tentu akan bermain dengan perasaan dan air mata. Kali ini, beliau membawa watak seorang ayah yang tegas dalam mendidik anak-anaknya. Watak seorang ayah yang sanggup berhempas pulas demi satu-satunya puteri dalam keluarganya. Tipikal seorang bapa yang garang tapi sebenarnya jauh tersimpan dalam sudut hatinya perasaan kasih dan sayang terhadap anak-anaknya walaupun terlihat ada pilih kasih.

Babak di mana Wak Selamat dimaklumkan berita kemalangan Hajar

Ditambah pula lakonan Beto Khusairy yang sememangnya hebat dalam setiap lakonan dia yang membawa watak seoarang anak yang taat pada ibu bapanya dan akur dengan setiap keputusan dan takdir. Watak yang dimainkan oleh Ummi Nazeera mungkin terlihat sedikit pentingkan diri sendiri, namun dia mempunyai niat dan cita-cita yang ingin menyenangkan keluarga setelah banyak berkorban deminya.

Secara jujurnya, saya berpendapat betapa kreatifnya pengarah menyusun plot demi plot disulami peristiwa tragis yang begitu meruntun jiwa dan membuatkan penonton tertanya-tanya apa kesudahannya. Bisik Pada Langit adalah filem yang berjaya mempamerkan dengan jelas unsur-unsur keagamaan yang sesuai dengan budaya serta perspektif masyarakat di Malaysia. Banyak babak dalam filem ini terasa dekat dengan penonton sehinggakan berjaya membawa penonton seperti menaiki roller coaster kerana ada babak yang akan membuat kita ketawa dan juga ada babak sedih.

Bagi saya, perjalanan plot filem ini sudah baik, tapi ia menjadi terbaik kerana dibarisi pelakon-pelakon yang dilihat memberi 100% komitmen dalam menjiwai watak masing-masing.
Berbaloi ke untuk di tonton? Jawapannya sudah tentu. 95 minit yang sangat berbaloi sarat dengan nilai keagamaan serta kekeluargaan yang mampu memberi impak kepada setiap yang menontonnya. Selamat menonton.

 

RATING FILEM INI

BINTANG UNTUK REVIEW INI

PURATA BINTANG 5 / 5. KIRAAN BINTANG 1

MASIH TIADA VOTE UNTUK REVIEW FILEM INI