Wifi Tanpa Password, HARAM – MuftiWP

5
(1)

SOALAN

 

Apakah hukum menggunakan wifi yang tidak diletakkan password (kata laluan)?

 

JAWAPAN

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

 

Merujuk kepada isu di atas, umum masyarakat kita pada hari ini telah terbiasa dengan penggunaan wifi. Dalam hal ini, kebiasaannya pemilik wifi akan meletakkan kata laluan untuk penggunaan wifi mereka. Namun begitu, terdapat juga para pemilik yang tidak meletakkan tetapan kata laluan. Justeru, masyarakat kita terkeliru berkenaan hukum penggunaan wifi tersebut yang tidak diletakkan kata laluan padanya.

 

Secara umumnya, kita dilarang untuk menggunakan atau memakan harta seseorang secara bathil. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya)”

 

(Surah al-Nisa’: 29)

 

Al-Maraghi berkata: ‘Bathil’ bererti sia-sia, manakala menurut istilah agama ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya. Rujuk Tafsir al-Maraghi (3/1168)

 

Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata, maksud memakan harta dengan cara batil ialah iaitu dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar’ie seperti riba, judi, ghasb, dan menipu dalam timbangan jual beli. (Rujuk Tafsir al-Munir, 5/31)

 

Daripada Anas bin Malik RA, Sabda Nabi SAW:

 

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ

 

Maksudnya: “Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya”

 

Riwayat al-Daraqutni (2885)

 

Nabi SAW juga bersabda:

 

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ، وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ، بَيْنَكُمْ حَرَامٌ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

 

Maksudnya: “Sesungguhnya darahmu, hartamu dan kehormatanmu terpelihara antara sesama kamu sebagaimana terpeliharanya hari ini, bulan ini dan negerimu ini”

 

Riwayat Bukhari (67) dan Muslim (1679)

 

Kesimpulan

 

Dalam isu ini, kami berpandangan tidak dibolehkan untuk menggunakan wifi yang tidak diletakkan password kecuali setelah mendapat keizinan daripada pemilik wifi tersebut. Namun, penggunaan tersebut adalah dibolehkan jika sekiranya kita mengetahui bahawa pemilik wifi tersebut redha dan mengizinkannya.

 

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.

Sumber asal di sinisini

 

RATING FILEM INI

BINTANG UNTUK REVIEW INI

PURATA BINTANG 5 / 5. KIRAAN BINTANG 1

MASIH TIADA VOTE UNTUK REVIEW FILEM INI