THE GHOST WIFE (2018)

4.8
(5)

“Rohnya kembali setelah dipisahkan dari lelaki yang dicintainya”

Bagi yang meminati kisah seram romantik dari Thailand, THE GHOST WIFE ini adalah salah satu filem yang min boleh sarankan kerana kisah cinta dalam filem ini mungkin kelihatan klise dan agak stereotaip, namun penceritaan kisah cinta dan seramnya digarap dengan baik, tersusun dan mudah untuk kita fahami. Jujur min katakan elemen seramnya tidak cukup mencengkam seperti filem-filem seram kelas A yang lain, namun ia masih cukup lumayan mencetuskan suasana seram yang ada terutama ketika babak mengusir roh dilakukan oleh sami.

Bagi yang tidak berapa suka elemen seram yang berat, filem ini selayaknya untuk ditonton anda kerana ia tidak akan membuatkan anda merasa bosan dan pasti terhibur menontonnya kerana adanya gabungan kisah cinta yang tidak kesampaian dan digarapkan bersama unsur-unsur mistik, seram kerana kehadiran roh yang tidak tenang. Dan ini mengingatkan min dengan filem Nang Nak bezanya Nang Nak mati kerana melahirkan dan Ghost Wife mati kerana menggugurkan bayinya.

Nard (Supawadee Kitisopakul) dan Mac (Chitiwat Wattanasiripong) ialah pelajar sekolah menengah yang telah menjalinkan hubungan cinta. Hari demi hari perasaan cinta mereka membibitkan perasaan dan hubungan yang terlarang sehingga Nard hamil. Namun hubungan mereka tidak disetujui oleh ibu Mac kerana mengganggap Nard hanya inginkan harta keluarga Mac. Dan demi untuk menjauhkan Mac dari Nard, Ibu Mac telah menghantar Mac bersekolah diluar negara.

Manakala Nard pula terpaksa berhadapan dengan situasi yang berat dan memalukan kerana ibunya menyuruh Nard untuk menggugurkan kandungannya demi menjaga nama baik keluarga. Sadisnya, operasi menggugurkan kandungan itu tidak berjalan dengan baik dan menyebabkan Nard kehilangan banyak darah, akhirnya Nard meninggal bersama bayi yang digugurkannya.

Beberapa tahun kemudian, Mac kembali mencari Nard di apartment tempah Nard tinggal dahulu. Dan Mac sangat teruja dan bahagia apabila dapat berjumpa dan bersatu semula dengan Nard dan kali ini Nard tidak berseorangan tetapi bersama seorang bayi yang comel.

Bagaimana kisah selanjutnya? Yang pasti cinta sejati mengatasi segala-galanya dan pengakhiran yang penuh emosi. Kerana Min rasa terhibur dengan kisah Nard dan Mac, min beri 7/10⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐.

Filem ini anda boleh tonton secara percuma di saluran YouTube. Sambil-sambil itu jom kita layan dulu trailernya.

 

 

 

RATING FILEM INI

BINTANG UNTUK REVIEW INI

PURATA BINTANG 4.8 / 5. KIRAAN BINTANG 5

MASIH TIADA VOTE UNTUK REVIEW FILEM INI