THE CART (2014)

0
(0)

Sebuah kisah yang sangat sedih dan penuh emosi. Kesungguhan dan penderitaan mereka membuat mogok dan demonstrasi bagi mempertahankan hak mereka sebagai buruh cukup memberi kesan. Yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin. Ketidakadilan dalam sistem sesebuah organisasi syarikat termasuk perlakuan kasar terhadap pekerja, bukanlah sesuatu yang baru lagi malah ia kerap berlaku dimana-mana pun.

“CART (2014)” adalah sebuah filem Korea yang berdasarkan PERISTIWA SEBENAR yang pernah berlaku pada tahun 2007 di sebuah supermarket besar, THE MART di Korea. Mengisahkan tentang sekumpulan pekerja kontrak yang dimonopoli oleh kaum wanita, membuat mogok kerja disebabkan pihak pengurusan THE MART menghentikan mereka secara tiba-tiba sebelum kontrak mereka tamat. Siapa saja yang tidak akan marah dan berang apabila satu-satunya punca pendapatan kita ketika itu ditarik tanpa alasan yang munasabah.

Sesuai dengan genre yang selalu ditampilkan oleh pengarah filem ini, Boo Ji-Young yang memang dikenali dengan usaha beliau mengetengahkan isu-isu sosial dan diserap ke dalam filem beliau. Banyak hasil karyanya diiktiraf diperingkat antarabangsa.

Dalam filem ini, penonton akan melihat bagaimana kesemua pekerja kontrak ini bekerja dengan bersungguh-sungguh, jujur dan menjaga etika pekerjaan mereka. “CUSTOMER IS THE KING! WORK FOR CUSTOMER SATISFACTION” adalah motto THE MART. Sebelum berlakunya mogok ini, mereka dijanjikan oleh pihak atasan akan diberikan status pekerja tetap sekiranya menunjukkan prestasi yang baik. Namun janji hanya tinggal janji dan kini mereka terpaksa berhadapan dengan pihak pengurusan yang tidak jujur dan telus.

Konflik tidak terhenti di situ sahaja, banyak lagi masalah dalaman yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak tersebut. Ada yang gajinya dipotong, ada yang dari kerja tetap diturunkan jadi pekerja sambilan sahaja. Bagi yang tidak mampu untuk melawan, mereka akur sahaja dan terima pampasan seadanya kemudian mencari pekerjaan lain.

Yang penting klimaks filem ini, adalah apabila mereka akhirnya bergabung dan bersatu semula berjuang bersama-sama mendapatkan hak mereka semula!

Sememangnya sebuah filem yang layak ditonton kerana mempunyai penceritaan yang berbeza dan paling penting ia menyentuh isu kemanusiaan. Dari filem ini juga ada moral yang kita boleh ambil sebagai iktibar dan inspirasi di mana dalam sesuatu apa pun yang kita lakukan, jangan sekali-kali berputus asa dan kita perlu tetap memperjuangkan hak melalui proses dan tindakan yang matang bila menghadapi situasi yang tidak adil.

RATING FILEM INI

BINTANG UNTUK REVIEW INI

PURATA BINTANG 0 / 5. KIRAAN BINTANG 0

MASIH TIADA VOTE UNTUK REVIEW FILEM INI