BASED ON TRUE STORY THE TAG-ALONG 2

4.8
(4)

BERDASARKAN KISAH BENAR DI TAIWAN “Urban Legend The Little Girl in Red”

Mengikut lagenda dan kepercayaan masyarakat di Taiwan, “Gadis Kecil Berbaju Merah” ini adalah syaitan yang membalas dendam kerana pernah mengalami penganiayaan. Ada juga yang mengaitkan ia seperti yang tertera dalam buku Cina kuno “Classic of Mountains and Seas” yang mengambil kesempatan daripada kerakusan (kerana kerosakan pokok-pokok dan tumbuhan di kawasan pergunungan tersebut) dan kelemahan manusia untuk menggoda mereka ke kawasan pergunungan sebelum menanam dan melilit mereka di pokok di dalam hutan yang penuh dengan kabus dan syaitan-syaitan kecil. Terdapat pelbagai implikasi kepada identiti sebenar gadis kecil berbaju merah itu dan asal usul gadis kecil berbaju merah itu masih mitos. Sehingga ke hari ini ia telah menjadi salah satu misteri yang paling banyak diperkatakan di kalangan orang Taiwan selama lebih dari dua puluh tahun.

Mengikut sumber, di Taichung, Mac 1998 sebuah keluarga yang pergi mendaki di pergunungan pada tahun 1998 dan merakam saat-saat dan pengalaman pengembaraan mereka mendapati setelah setahun kemudian apabila mereka menonton video itu semula dan menyedari bahawa mereka telah merakam sesuatu yang menyeramkan. Mereka tersentak dan terkejut, kerana sepanjang rakaman video itu mereka telah diekori oleh seorang gadis kecil berpakaian merah, yang dipercayai sebagai Moshenzi atau syaitan yang tinggal di gunung yang lazimnya suka menculik orang tua dan kanak-kanak. Juga terdapat beberapa insiden mengerikan yang lain yang anda boleh baca melalui Wikipedia. Berdasarkan kisah inilah, telah memberi inspirasi kepada pembikinan filem pertama “The Tag-Along pada tahun 2015 kemudian diikuti dengan sekuelnya “The Tag-Along 2 pada tahun 2017” yang mana kedua-dua filem ini juga telah mendapat kutipan box office tertinggi dalam sejarah perfileman Taiwan iaitu US1.8MIL untuk “The Tag-Along kemudian rekod itu diatasi oleh “The Tag-Along 2 sebanyak US3.7MIL.

 

THE TAG-ALONG 2

Bagi yang belum tonton lagi filem pertamanya, anda disarankan untuk menontonnya juga bagi mendapatkan gambaran lebih jelas bagaimana yang filem pertama itu bersangkut paut dengan sekuelnya ini. Untuk “The Tag-Along 2” ini, kita akan difokuskan dengan lebih mendalam tentang sejarah dan latar belakang Gadis Kecil Berbaju Merah manakala filem pertama tidak diceritakan langsung asal usulnya dan plotnya hanya tertumpu kepada watak-watak yang hilang satu persatu tanpa sebab yang sehingga membawa kepada tragedi yang menakutkan dikalangan penduduk di kawasan pergunungan tersebut.

Di sekuel ini juga, kita akan didedahkan bagaimana dia menjadi syaitan yang jahat dan pendendam sebenarnya dan plot filem ini juga menunjukkan yang gadis syaitan itu kembali menculik orang dan kali ini karakter yang difokuskan adalah seorang remaja sekolah yang bermasalah hilang ke pergunungan dan Ibunya kemudian memulakan misi pencarian tanpa henti bersama krew-krew penyelamat sehingga si ibu dapat merungkai misteri syaitan kecil yang terkenal lagi digeruni itu. Kemudian muncul beberapa karakter utama lain yang juga menjadi tunggak kepada kekuatan dan klimaks jalan cerita filem ini.

RINGKASAN JALAN CERITA

Shu-fen (Rainie Yang) adalah seorang pekerja sosial yang ditugaskan untuk melawat seorang wanita yang bernama Mei-hua kerana didakwa oleh jiran-jirannya yang dia telah mengurung anak kecil perempuannya selama setahun. Apa yang mengejutkan, Shu-fen menjumpai anak perempuan itu telah dikurung di sebuah ruangan kecil dan dipenuhi dengan lukisan-lukisan dan tulisan mantera perlindungan. Mei-hua juga telah melukis mantera perlindungan di seluruh badannya sendiri serta anak perempuannya.

Shu-fen yang masih terpaku dengan keadaan itu kemudian memberitahu Mei-hua yang dia akan membawa anaknya ke pusat jagaan kanak-kanak demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya namun secara tiba-tiba Mei-hua menjerit bagai orang kena sampuk sambil memberitahu Shu-fen yang nyawa anaknya dalam keadaan yang sangat bahaya dan bilik itu digunakan untuk melindungi anaknya dari dibunuh oleh “Gadis Kecil Berbaju Merah”.

Di babak lain, Shu-fen mendapati anak perempuannya Ya-ting (Ruby Chan) telah hamil anak luar nikah dan segera mengheret Ya-ting untuk melakukan pengguguran. Ya-ting yang sememangnya sudah ada masalah dengan ibunya menjadi sangat beremosi dan tidak bersetuju dengan tindakan ibunya itu kemudian didapati telah hilang selama 3 hari. Setelah disiasat melalui CCTV lokasi terakhirnya, ia menunjukkan Ya-ting sedang berjalan keluar dari kawasan sekolah ditemani seorang gadis kecil berpakaian merah!

Shu-fen dibantu oleh beberapa krew keselamatan dan juga melalui ritual untuk mengesan keberadaan Ya-ting pun pergi ke pergunungan bersama-sama namun mereka bakal menghadapi satu ancaman kuasa ghaib yang cukup kuat dan kejam!

Mampukah mereka mengalahkan kuasa ghaib itu? Dan dapatkah Shu-fen bersatu kembali bersama Ya-ting? Yang pasti, anda perlu tonton sendiri dan alami sendiri pengalaman mengerikan ini.

REVIEW RINGKAS

Bagi sis, filem ini memaparkan sisi gelap kuasa alam ghaib yang sangat menarik dengan garapan sinematografi melalui ritual, tradisi dan kepercayaan budaya serta mitos yang asalnya telah wujud di Taiwan. Selain itu impak bunyi dalam filem ini berjaya membangunkan suasana yang mencengkam dan menyeramkan. Sungguh terasa keseraman itu lagi-lagi sis tonton filem ini jam 2 pagi dan diikuti filem pertamanya sehingga hampir masuk waktu Subuh. Jalan cerita yang menarik, lakonan yang bagus, tidak berbelit-belit plotnya membuatkan filem ini sememangnya berbaloi untuk ditonton dan dinikmati terutama peminat genre seram supernatural yang berdasarkan kisah benar. Untuk ini, sis dengan gembiranya memberikan “The Tag-Along 2” 8.5/10⭐⭐⭐⭐ manakala “The Tag-Along 1” 7.5/10⭐⭐⭐.

BERITA BAIK! FILEM INI ANDA BOLEH TONTON SECARA PERCUMA DI SALURAN YOUTUBE. TAIP SAHAJA TAJUK NYA PASTI JUMPA!

TRAILER

 

RATING FILEM INI

BINTANG UNTUK REVIEW INI

PURATA BINTANG 4.8 / 5. KIRAAN BINTANG 4

MASIH TIADA VOTE UNTUK REVIEW FILEM INI