10 Kdrama 2023 Paling Top Berdasarkan Rating IMDb, Perlu Anda Tonton!

5
(4)

Tahun 2023 menyaksikan kejayaan besar industri drama Korea Selatan yang berjaya menggegar dunia dengan sajian-sajian drama Korea (Kdrama) yang memukau dan memikat. Fenomena Squid Game pada tahun 2021 memberi impak besar pada industri seni Korea Selatan. Hingga ke hari ini, Squid Game masih memegang rekod siri yang paling banyak ditonton di Netflix untuk sepanjang zaman. 

 

Perkhidmatan media penstriman, Over-The-Top (OTT) seperti Netflix, Prime Video, Viu, dan saluran-saluran televisyen berebut-rebut mahukan hak penyiaran bagi drama Korea terbaik yang membariskan pelakon-pelakon terkenal dari negara tersebut. Tahun 2023 juga menandakan kejayaan besar bagi industri drama Korea Selatan apabila banyak drama yang dihasilkan berjaya mendapat rating tinggi dari para penonton dan juga laman kritik seperti IMDb, Rotten Tomatoes, MyDramaList dan banyak lagi. Oleh itu, kami merangkumkan untuk anda 10 Kdrama paling terbaik dengan rating tertinggi berdasarkan pangkalan data IMDb. 

 

  • Death’s Game

 

Death’s Game yang baru sahaja ditayangkan ini mengikuti kisah seorang lelaki bernama Choi Yi Jae (Seo In Guk). Selama 7 tahun dia sukar mendapat pekerjaan tetap. Yi Jae yang kecewa dan memutuskan untuk bunuh diri. 

 

Namun, ternyata Yi Jae tetap tidak aman di alam roh. Dia perlu menghadapi Death (Park So Dam) yang merasa tersinggung kerana dia mempermainkan kematian. Death menghukum Yi Jae hingga dia perlu menghadapi 12 kematian lain di tubuh yang berbeza-beza. Nantikan sambungan bahagian 2 siri ini yang akan ditayangkan di Netflix pada 5 Januari akan datang. Death’s Game mendapat rating sangat tinggi di IMDb iaitu sebanyak 9.1/10. 

 

  • My Dearest

My Dearest merupakan drama siri sageuk yang mengangkat kisah tentang kehidupan masyarakat pada Dinasti Joseon sewaktu pencerobohan Qing yang terjadi pada 3 Januari 1637-24 Februari 1637. Kisahnya tidak menunjukkan hanya rakyat biasa yang mengalami kesukaran, para bangsawan juga terkena tempias yang sama. Bahagian 1 drama ini ditayangkan pada 4 Ogos hingga 2 September. 

Manakala, bahagian kedua akan ditayangkan pada 13 Oktober 2023. Mengisahkan tentang Yoo Gil Chae (Ahn Eun Jin) yang merupakan seorang bangsawan muda yang ceria dan manja. Gil Chae pandai merebut hati jejaka dan banyak yang ingin menjadi kekasihnya. Namun, jejaka yang benar-benar Gil Chae inginkan adalah Nam Yeon Joon (Lee Hak Joo) yang bertunang dengan Kyung Eun Ae (Lee Da In). My Dearest mendapat rating IMDb sebanyak 9/10. 

 

  • Twinkling Watermelon

 

Drama siri Korea Selatan dengan genre pengembaraan masa ini menceritakan tentang seorang pelajar masa kini yang melakukan pengembaraan masa ke tahun 1995 selepas mengunjungi sebuah kedai muzik yang aneh.

Pada masa itu dia bertemu dengan Ha Yi Chan, ayahnya di masa muda. Kemudian Eun Gyeol bergabung dengan pasukan muzik sekolah yang disertai oleh ayahnya. Drama siri berjumlah 16 episod ini dibintangi oleh Ryeoun, Seol In Ah, Choi Hyun Wook, dan Shin Eun Soo. Menampilkan cerita yang segar dan menceriakan, drama ini berjaya meraih rating IMDb sebanyak 9/10. 

 

  • The Good Bad Mother

 

The Good Bad Mother adalah sebuah siri TV dari JTBC yang mengisahkan tentang hubungan seorang ibu dan anaknya. Si anak bernama Choi Kang Ho yang dilakonkan oleh Lee Do Hyun tiba-tiba sahaja berkelakuan seperti kanak-kanak akibat terlibat dengan sebuah kemalangan.

Keadaannya yang seperti itu membuatkan dirinya terpaksa pulang ke kampung dan dijaga oleh ibunya yang sangat tegas iaitu Jin Young Soon (Ra Mi Ran). Drama kekeluargaan yang turut menampilkan kisah misteri dan jenayah ini berjaya memukau ramai peminat. Tidak kurang hebatnya, drama ini berjaya mendapat rating IMDb sebanyak 8.4/10. 

 

  • The Worst of Evil

 

The Worst of Evil adalah mengenai kisah Park Jun Mo (Ji Chang Wook), seorang anggota polis yang kecewa dengan kehidupannya dan akhirnya mendapat peluang untuk melakukan tugas penyamaran dan menyusup masuk ke dalam organisasi pengedaran dadah.

Dia perlu berhadapan dengan ketua mafia yang bertanggungjawab disebalik kes perdagangan dadah terlarang tersebut iaitu Jung Gi Cheol (Wi Ha Joon). Kisahnya bukan sekadar tentang tugas penyamaran dan kes jenayah, konflik percintaan dan rumah tangga turut dipaparkan. Drama Korea yang menyaksikan Ji Chang Wook memberi persembahan terbaik ini mendapat rating IMDb sebanyak 8.4/10.

 

  • Daily Dose of Sunshine

 

Bergenre medikal, Daily Dose of Sunshine mengangkat kisah kehidupan seorang juru rawat yang dipindah bertugas ke klinik kesihatan mental. Watak utama dibawa oleh Park Bo Young yang membawa watak sebagai Jung Da Eun. Jung Da Eun dipulaukan oleh kawan-kawan sekerjanya kerana dia memiliki hati yang terlalu baik.

Dia merupakan seorang juru rawat yang sepenuh hati merawat para pesakit hingga sanggup berlama-lama di ruangan pesakit. Perkara ini membuatkan rakan sekerja yang lain harus bekerja lebih masa untuk menyelesaikan pekerjaan Jung Da Eun. Tambahan pula, Jung Dae Eun mengalami gangguan mental akibat masalah tersebut. Drama ini mendapat rating IMDb sebanyak 8.3/10. 

 

  • The Glory, Part 2

The Glory Part 2 ditayangkan dengan jumlah 8 episod pada 10 Mac 2023. Manakal 8 episod dari bahagian pertamanya ditayangkan pada 30 Disember 2022. Drama siri ini mencuri perhatian kerana menjadi pentas kemunculan semula Song Hye Kyo.

Selain itu, lakonan para pelakon lain turut mencuri perhatian. Pelakon-pelakon seperti Lim Ji Yeon, Park Sung Hoon, Kim Heiora, Kim Gun Woo, dan Cha Joo Young turut mendapat pujian dan disukai ramai. The Glory Part 2 meneruskan kisah dari bahagian pertama. Drama yang tayang di Netflix ini meneruskan perjuangan seorang mangsa buli yang bernama Moon Dong Eun (Song Hye Kyo) yang ingin balas dendam kepada para pembulinya. Drama siri yang mendapat sambutan hangat ini berjaya meraih rating IMDb sebanyak 8.1/10. 

 

  • Love To Hate You

 

Love to Hate You adalah salah sebuah drama Korea ringan untuk anda yang wajib ditonton. Selain boleh dicari di Netflix, Kdrama yang dibintangi oleh Yoo Teo dan Kim Ok Bin ini cuma mengandungi 10 episod sahaja.

 

Watak Yeo Mi Ran (Kim Ok Bin) dalam Love to Hate You digambarkan sebagai seorang wanita yang tidak mempercayai lelaki, ini adalah kerana dia pernah dicurangi oleh kekasihnya pada masa lalu. Manakala watak Nam Gang Ho (Yoo Teo) pula sukar untuk jatuh cinta selepas bekas kekasihnya meninggalkan dia dan sanggup memilih lelaki lain. Drama ini berjaya mendapat rating IMDb sebanyak 7.9/10.

 

  • Agency

Ditayangkan pada di awal tahun 2023, Agency menyoroti perjuangan seorang wanita yang menjadi eksekutif wanita pertama di syarikat iklan ternama. Go Ah In (Lee Bo Young) merupakan seorang wanita dari latar belakang keluarga yang kurang mampu, yang berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam kerjayanya.

Go Ah In adalah seorang wanita berdikari, kuat, dan seorang pekerja yang komited. Hasil ketekunan dan dedikasinya yang tinggi, dia berjaya menjadi Ketua Eksekutif wanita pertama di VC Group, sebuah agensi iklan terkemuka di Korea. Namun, kedudukannya diancam oleh ramai orang yang ingin menggantikannya. Drama siri yang memaparkan politik kotor dan kisah tikam belakang ini berjaya mendapat rating IMDb sebanyak 7.8/10. 

 

  • Crash Course in Romance

Memilih tusyen menjelang ujian kemasukan ke universiti adalah perkara besar bagi masyarakat Korea Selatan. Tidak hairanlah jika Nam Haeng Soon (Jeon Do Yeon) berusaha sekuat tenaga untuk memasukkan anaknya ke kelas tusyen guru terkenal, Choi Chi Yeol (Jung Kyung Ho).

Terasa sederhana, namun kisah mereka berkembang menjadi sesuatu yang bukan hanya lucu, tetapi juga sangat mengasyikkan! Turut dibumbui sedikit misteri, Crash Course in Romance tetap tergolong dalam drama ringan yang wajib ditonton. Drama ini berjaya mendapat rating IMDb sebanyak 7.8/10. 

 

10 drama Korea yang tersenarai adalah drama-drama yang mendapat rating paling tinggi berdasarkan pangkalan data IMDb. Selain drama-drama top ini, terdapat banyak lagi drama Korea lain yang telah ditayangkan sepanjang tahun 2023. Antaranya adalah Call It Love, Our Blooming Youth, See You In My 19th Life, Divorce Attorney Shin, Celebrity, Delivery Man, Mask Girl, Oasis dan banyak lagi. 










RATING FILEM INI

BINTANG UNTUK REVIEW INI

PURATA BINTANG 5 / 5. KIRAAN BINTANG 4

MASIH TIADA VOTE UNTUK REVIEW FILEM INI