INNOCENT WITNESS (2019)

0
(0)

Innocent Witness adalah filem yang wajib ditonton oleh semua peminat-peminat filem. Sebuah filem yang cukup menginsafkan dari Korea Selatan yang berkisar tentang remaja autism. Filem yang membuka mata dan memberi tumpuan khas tentang golongan istimewa yang autistik. Filem ini ditayangkan pada tahun 2019 di Korea Selatan dan mendapat sambutan yang sangat baik sekali. Innocent Witness diarahkan oleh Lee Han yang sebelum ini terkenal dengan filem box office nya iaitu Punch. 



Filem yang berkisar tentang hubungan antara peguam bela seorang pembantu rumah yang dituduh membunuh majikannya dengan seorang remaja autism yang mendakwa telah menyaksikan pembantu rumah tersebut membunuh majikannya sendiri. Remaja autism tersebut iaitu Ji-woo (Kim Hyang-gi) merupakan satu-satunya saksi kejadian ‘bunuh’ tersebut. Peguam muda iaitu Soon-ho (Joong Woo-sung) berusaha mendekati Ji-woo untuk mengetahui hal sebenar dan membawa Ji-woo ke kandang saksi. Demi mendapatkan kesaksian Ji-woo, Soon-ho membuat keputusan untuk berjumpa dengan remaja autism tersebut dan berbaik-baik dengannya terlebih dahulu demi mendapatkan kepercayaannya. Persoalan menarik untuk filem ini adalah bolehkah seorang remaja autistik memberi kesaksian di kandang mahkamah? Adakah kesaksiannya bakal diambil kira? Lebih menarik dan penuh konflik adalah apabila pembantu rumah tersebut bermati-matian tidak mengaku melakukan pembunuhan sedangkan Ji-woo tekad dan yakin bahawa lelaki tua di hadapan rumahnya itu telah mati dibunuh oleh si pembantu rumah tersebut. 

Pujian seharusnya diberi kepada Kim Hyang-gi yang berjaya membawa watak Ji-woo seorang remaja autism dengan berjaya dan cemerlang. Kim Hyang-gi ternyata seorang pelakon berbakat besar, memulakan kariernya sebagai seorang pelakon kanak-kanak, seterusnya terus mendaki puncak populariti dan kejayaan dengan lakonan-lakonannya yang amat berkesan. Aktres ini telah beberapa kali memenangi anugerah perfileman antaranya Pelakon Muda Terbaik di Anugerah Bintang APAN dan Anugerah Seni Baeksang ke 51. Selain itu pelakon kecil molek ini berjaya merangkul anugerah Palakon Wanita Terbaik untuk lakonannya dalam filem Innocent Witness di Golden Cinema Film Festival ke 39 dan Anugerah Filem Buil ke 28. Lakonannya sebagai gadis remaja autism dalam filem ini sangat berkesan dan mampu membuat penonton menitiskan air mata. Satu penghayatan dan lakonan yang cukup luar biasa telah dipersembahkan oleh Kim Hyang-gi. 

 

Filem Innocent Witness amat menyentuh perasaan dengan mesej moral yang sangat menjentik jiwa. Sebuah filem yang tidak akan membuat penonton bosan. Filem ini boleh distrim di platform Viu Malaysia.

 

RATING FILEM INI

BINTANG UNTUK REVIEW INI

PURATA BINTANG 0 / 5. KIRAAN BINTANG 0

MASIH TIADA VOTE UNTUK REVIEW FILEM INI